Konsep Tekanan Stres



Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan tang boleh berpunca daripada peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya.

Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang.
Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbals kepada permintaan terhadap dirinya.
Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangai permintaan itu, makan tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif.



Stres diambil daripada perkataan Greek iaitu ‘Stringere’ yang bermaksud ketat atau tegang (Cox, 2000). Selye, seorang ahli perubatan merupakan perintis dalam menjalankan kajian tentang stres ini.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini (Azizi, Jamaludin dan Mazeni, 2010). Kajian  yang  dilakukan oleh Institute Of Stress di New York, mendapati pada tahun 2002 terdapat 90% daripada lelaki dewasa  mengalami stres yang kuat sekurang-kurangnya  dua kali seminggu, manakala 25% lagi mengalami stres setiap hari.

Stres boleh didefinisikan sebagai satu keadaan  emosi yang kompleks dan satu reaksi  fisiologi dan psikologi  yang berlaku  pada seseorang  apabila ia bertindak balas  kepada faktor-faktor luaran  di persekitaran seperti keadaan tempat kerja, sikap rakan, hubungan  dengan subordinat dan tekanan kerja.


Menurut   Cox  dan  Brockley (1984), stress merupakan  satu  persepsi  yang  wujud  dari satu  perbandingan di antara arahan yang diberikan oleh seseorang dengan kebolehan untuk melakukan arahan tersebut  dengan jayanya.
Schafer (1992) pula mentafsirkan stres sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbalas kepada permintaan terhadap dirinya. Sekiranya seseorang itu dapat menyesuaikan mindanya dengan menangani permintaan itu, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif.



Manakala stres dalam kalangan guru didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka. (Kyriacau & Sutcliffe, 1978). Guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendididikan akan mengalami stres. Kebanyakkan guru pada masa kini terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian, menyedia alat bantu mengajar, menghadiri kursus sepanjang minggu dan terpaksa melakukan penyesuaian terhadap tugasan dan ini sedikit sebanyak telah menganggu emosi dan minda mereka. Stres kerja pada tahap yang tinggi akan membawa kepada rasa ketidakpuasan kerja, sering mengelakkan diri dan mengabaikan kerja.

Kyricaou (1987) kemudiannya mentakrifkan tekanan guru sebagai pengalaman yang dialami oleh guru berhubung dengan emosi yang tidak menyenangkan seperti ketegangan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan dukacita yang disebabkan oleh aspek-aspek pekerjaan sebagai seorang guru.


Tekanan guru juga boleh didefinisikan sebagai kesan tindak balas negatif seperti kemarahan dan tekanan oleh seseorang guru. Ia kebiasaannya merangsang potensi perubahan fisiologi seseorang guru seperti peningkatan kadar degupan jantung dan perembesan hormon tertentu ke dalam salur darah. Seterusnya ia memberi kesan terhadap aspek tugas perguruan yang merangkumi kesungguhan menjalankan tugas, keyakinan diri dan kerasionalan tindakan.

Dunham (1976) melaporkan hasil kajiannya mengenai tekanan guru berdasarkan analisis data yang mengandungi 658 orang guru di sekolah rendah dan sekolah menengah di United Kingdom. Para responden, iaitu guru diminta untuk menerangkan situasi tekanan yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi masalah tersebut.

Daripada kajian tersebut, kesimpulan yang boleh dibuat ialah ‘lebih banyak guru yang mengalami tekanan guru’, ‘hanya angka sedikit sahaja dalam kalangan guru yang tidak mengalami tekanan guru’. Tekanan dihadapi terutamanya dalam organisasi, konflik yang dialami dalam pembahagian tugas, dan keadaan tempat kerja. Untuk itu, antara tindakan guru yang menghadapi tekanan guru yang berlebihan telah memillih langkah untuk meletakkan jawatan dalam sesuatu organisasi; guru memilih untuk mengajar pelajar yang kurang kemampuan belajar atau kelas yang kurang cerdik. Komunikasi dalam kalangan guru semakin kurang berkesan dan guru memilih untuk mendiamkan diri. Guru yang memiliki karakter atau personaliti yang baik berubah sama sekali kepada seseorang yang langsung tidak dikenali dan kepuasan kerja yang rendah.


Terdapat laporan yang menyatakan bahawa tekanan guru telah dikaitkan dengan penyakit sakit mental. (Fletcher dan Payne, 1982). Menurut Blase’s (1982) berdasarkan jurnal yang ditulis oleh Kyriacou (1987), sebilangan besar guru menunjukkan tahap penglibatan kerja yang rendah akibat tekanan yang berlebihan. Tenaga tidak digunakan untuk meneruskan kerja berkaitan dengan pengajaran, sebaliknya melepaskan tenaga secara tindakan fizikal atau melepaskan geram terhadap pelajarnya. Sesetengah guru yang tidak melepaskan geram pula memilih jalan dengan tidak hadir ke sekolah akibat tekanan guru yang berlebihan. Tekanan dalam kalangan guru menyebabkan  potensi berlakunya masalah salah guna kuasa guru terhadap murid-murid. Terutamanya yang berlaku dalam aspek hukuman yang boleh mengakibatkan penderaan.


Konsep tekanan telah digunakan secara meluas untuk menerangkan peningkatan motivasi pekerjaan dan penurunan kepuasan kerja. Tekanan boleh memberikan kesan sama ada positif atau negatif. Fisher (1994), percaya bahawa mereka yang mengalami masalah tekanan pekerjaan adalah kurang efisyen. Mengalami sikap kemurungan, kerisauan atau kegelisahan, kemarahan dan fobia merupakan tanda-tanda tertekan yang mungkin berpunca daripada persekitaran luar atau faktor-faktor kognitif individu.